Jumaat, 23 Oktober 2009

Kan Kucari Teman

Kan kucari teman
Yang bisu
Tak pandai berbuah bicara
Tak boleh berceloteh durjana
Hanya melafaskan kata-kata ceria

Kan kucari teman
Yang pekak dan tuli
Tak dengar lagu-lagu fitnah
Cuping menadah titisan zikir
Hanya dengar sunyian syahdu
Redha akan sepi indah

Kan kucari teman
Yang kudung langkah
Tak menggapai makruf
Jejarinya tak menjalar liar
Menyentuh bahana-bahana laknat
Begitu kakukeras
Merasa kelazatan seketika
Terasa licin menadah azimat

Kan kucari teman
Yang tempang ketampanan tingkah
Tak berani menyusup-nyusup
di bawah lorong-lorong hitam
Mencari titik-titik kelam
Walau sesaat pandang
Hanya boleh melangkah
Menemui kerlipan jihad
Agar memancarkan sinar syahid

Akan kucari teman
Yang buta mata
Tak bisa celik
Matanya tak berkerdip
Tak berbunga kelopak
Memekarkan pandangan dayus
Hanya pandai meneka
Ayat-ayat maknawi
Mengenali erti-erti sebuah hakiki.


5 April 2009

Sabtu, 10 Oktober 2009

Penantian Menanti

Penantian suatu penyeksaan
Menanti bilakan pasti
Seolah mengapai pupukan pawana
Mimpi dalam mimpi mengusik kalbu
Sebak pedih mengalunkan keperitan
Madu berduri ditelami rintihan

Kesulitan santapan penantian
Kesabaran dicemburui takdir
Kerelaan dinodai nafsi-nafsi
Tak tega didalih
Ampuhnya nakhoda disunting parah
Kelunakan bahtera dipipis kejam
Kelukaan jiwa peneman segala
Hanya ada
Indah khabar dari rupa

Pastikah menanti sesuatu penantian
Mimpi impi terus dirindui
Detikan redha jadi penentu
Hajat terkubur tak terkabul
Umpama menghitung bayu berpupuk.

Hari demi hari ditatap
Titikan detik tak leka ditilik
Ini semua mampukah dimilik

Suka duka berpadu
Senyum ketawa buntu
Iman taqwa menjadi guru.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Sunnah Tidur Tengahari Dan Penemuan Semasa

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah ada melakukannya. "Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse) Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.'

Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com) Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

(Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun)